Saturday, 9 February 2013

BAB 1


Maya Sara bangun seawal jam tiga pagi, letih atau tidak, dia terpaksa melakukan kerja-kerja memasak, walaupun gaji yang diterimanya amat tidak berbaloi. Diberi makan dan tempat tinggal percuma bersama majikannya sudah cukup untuk Maya Sara teramat bersyukur. Rm300.00 sebulan itu akan disimpannya separuh untuk masa depannya. Dia bercita-cita ingin memulakan perniagaan dalam bidang masakan sebaik sahaja ilmu yang ingin dia timba itu cukup di dada.
Sesudah subuh, Saadiah yang dikenali ramai dengan panggilan Mak Aji itu, terkochoh-kochoh mendapatkan van buruknya yang terpakir di tepi sebuah bengkel tempatnya memasak.
“Cepat sikit Maya, akak dah lambat ni”
Kedengaran bunyi motosikal jiran tetangga yang datang menghantar kuih-muih yang ditumpangkan untuk dijual di gerai Mak Aji.
“Letak saja di dalam van ini nanti akak susun” perintah Mak Aji kepada jiran-jirannya.
Sebentar kemudian Mak Enon datang menolong Mak Aji mengangkat semua masakan yang ada di dalam bengkel itu lalu disusunnya ke dalam van tersebut. Maya Sara akan mengeluarkan semua masakannya untuk dijual bersama. Mak Aji gembira semenjak Maya Sara bekerja dengannya kerana dia mendapat pendapatan yang lebih berbanding dahulu. Van buruk itu menderu laju meninggalkan perkarangan bengkel itu. Mak Aji dan Mak Enon akan pergi ke Pasar Kepala Batas seawal 6.30 pagi, jika terlewat, pelanggan akan beralih ke gerai lain. Rugi! Sekajap sahaja van itu tenggelam dalam kegelapan dinihari.
Di gerai jualannya yang terletak di Pasar Kepala Batas, Mak Aji dan Mak Enon memang sentiasa sibuk melayan pelangganya. Semua ada terjual di gerainya, pelanggan tidak perlu lagi untuk ke gerai lain. Nasi lemak yang dimasak sendiri oleh Mak Aji tidak boleh dipertikaikan lagi keenakannya. Anika bubur dan juadah dari pulut juga disediakan sendiri oleh Mak Aji yang setiap malam akan memasaknya di bengkel.
“Kak, laksam ada?”
“Ada sikit lagi ni”
“Maya Sara datang tak?”
“Hari ni dia tak datang, sebab kak Enon ada tu, kalau kak Enon cuti barulah dia ganti”
Aron menghirup kuah laksam itu dengan seribu kepuasan. Selama dia bekerja di merata-rata tempat, dia tidak pernah rasa laksam sesedap air tangan Maya Sara. Apa rahsia dan resepi laksam itu, membuatkan rasanya amat berbeza sekali. Rasa kuahnya yang lembut, santan yang cukup dan sambalnya begitu kena sekali dengan gabungan itu. Tidak pekat sangat dan tidak pula cair sangat. Ada juga Aron tidak lalu makan laksam di kedai lain kerana cara hidangannya nampak tidak menyelerakan. Sambal yang tidak kena rasanya, kuahnya terasa masin atau terlebih manis. Susah untuk disamakan dengan masakan orang lain, Rasa laksam Maya Sara sungguh unik, tidak akan jemu kepada sesiapa yang memakannya.
“Kak, akak tahu tak, bagaimana Maya Sara buat laksam ni, saya nak belajarlah”
“Apa pulak tanya akak, Aron kenalah belajar dengan Maya Sara sendiri”
“Habis tu, camna nak belajar ni, tuan tubuhnya tak datang”
“Kamu ni Aron, dah makan laksamnya, tak puas pulak sebab tak dapat tengok tuannya”
“Akak ni macam tau-tau pulak, lain kali ajaklah dia datang sekali tolong-tolong kat kedai ni”
“Ya lah, esok akak ajak dia datang. Tapi kamulah kena bayar gaji ‘OT’ nya itu. Ha, kamu ni, esok bolehkah kamu singgah sini? Kamu tak kerja ke?”
“Kerja kak, itulah susahnya kerja pemandu lori macam saya ni selalu kena out station”
Di dalam hati Aron, sedang bertunas benih-benih rindu. Ingin sekali dia membajainya. Tetapi, sudikah Maya Sara menerimanya nanti, yang hanya seorang pemandu lori? Pernah terdetik di benaknya persoalan itu. Ah! Aku orang lelaki, kenapa aku perlu takut untuk bersuara, jika ditolak, aku tidak rugi, kalau di terima; Siapa yang untung! Hati Aron berkata-kata lagi sendirian. Susah untuk mendapat seorang isteri yang pandai memasak sekarang ini.
“Akak, Maya Sara tu asalnya orang mana?”
“Tentulah dari Pantai Timur, kalau tak, takkanlah dia pandai buat laksam”
“Tahulah kak, Pantai Timur tu luas, tapi kat mana, kampung apa? Saya nak pergi merisik ni”
“Aik, serius nampak?”
“Ya lah, ingatkan saya ni main-main ke, umur saya ni dah nak dekat 35 tahun lah kak, lama-lama nanti berkarat pulak. Hahahaha” Aron berseloroh.
“Kamu ni, takkanlah kamu langsung tak ada teman wanita lain”
“Ada tu adalah akak, tapi semuanya tidak berkenan di hati saya. Tapi tak tahulah kenapa sejak makan laksam Maya Sara ni, terasa lain benarlah, rasa macam rindu semacam pulak kak. Saya malu jugak nak bagitahu akak ni, tapi saya dah anggap akak ni macam saudara sendiri”
“Ha, jangan nak ngaku-ngaku sedara, makan kena bayar tau”
“Yalah kak, ke situ pulak akak ni”
“Akak gurau ajalah, tak kan tak boleh, kuat jugak, merajuknya ni”
“Okeylah kak, bagitahu Maya Sara niat saya tu. Jangan buat-buat lupa pulak”
“Maya Sara tu janda tak ada anak. Dia dah tak ada mak dan ayah, baguslah jika Aron nak buat dia sebagai isteri, buat apa setakat nak belajar resepi baiklah kahwin lagi senang, dapat makan laksam selalu” kata kak Saadiah sambil ketawa kecil.
“Betul tu kak, orang macam saya ni, mana ada masa nak memasak, baik makan di kedai, kalau ada isteri tu, tentulah terurus sikit makan minum saya ni kak. Terima kasihlah kak, akak ni baiklah”
“Tapi kau boleh terima ke, sebab Maya tu janda”
“Apa salahnya kak, baguslah sebab kalau janda ni banyak pengalaman, lagi pun pada Maya tu, saya nampak ada pakej”
“Hah! Jangan nak puji lebih-lebih pulak. Akak dah nak tutup kedai ni. Kalau ada masa esok datanglah lagi”
“Baiklah kak, mana boleh saya lupa nak datang makan di kedai akak ni” kata Aron sambil tersenyum.
“Ini duitnya kak, saya balik dululah, Assalamualaikum” Aron melangkah kakinya laju menuju ke lorinya
“Walaikumussalam” jawab kak Saadiah sambil menggelengkan kepalanya.
“Hai, asal ada je, pembantu muda, lesap, asal ada yang baru je dikebas orang...” rungut kak Saadiah sendirian. Payah sungguh untuk mendapatkan pekerja yang bertahan lama sedikit melainkan orang itu sudah berumur seperti kak Enon. Sambil mengemas, kak Saadiah merungut-rungut kecil.
                                                 *****
Lega rasanya di hati Maya Sara seperti lepas membayar hutang beribu. Barulah terasa penat dan longlai segala urat sarafnya. Memasak sendirian dengan membuat kuih-muih dan masakan Pantai Timur setiap malam, membuatkannya benar-benar terasa penat. Segala penat lelahnya itu akan berbaloi apabila setiap kali Mak Aji pulang, masakannya akan habis terjual. Maya Sara dapat rasakan masakannya tentu diterima ramai. Ada harapan!
Dengan segera, Maya Sara mengambil wudu’ dan bersembahyang subuh, walaupun subuh sudah hampir habis. Begitulah rutin harian Maya Sara.
“Ya Allah, Ya Rahim... Kau ampunilah dosa-dosaku, dosa-dosa suamiku, dosa-dosa kedua ibu dan bapaku, serta seluruh muslimin dan muslimat sekaliannya. Ya Allah Ya Rahman, Kau berilah kepadaku jodoh yang sesuai, agar aku dapat menjalani kehidupanku kembali seperti dahulu. Sesungguhnya ujian terhadap seorang janda ini sangat berat dirasakan. Selawat dan salam kepada Junjungan Mulia Nabi Muhammad S.A.W, sahabat-sahabat baginda, isteri-isteri baginda, seluruh keluarga dan kaum muslimin dan muslimat sekeliannya. Aamiin Ya Rabbal Aalamin”
Maya Sara meraut wajahnya perlahan-lahan. Air matanya yang bergenang itu terjun deras ke ribaannya.
“Kak Maya, Liza dah nak ke sekolah ni,”
Maya Saya cepat-cepat menyapu air matanya dengan lengan baju tidurnya. Sasliza anak bongsu Mak Aji yang masih menuntut dalam tingkatan empat itu, datang bersalam dengannya untuk mengucapkan selamat tinggal. Maya Saya mengekori Sasliza yang menunggang basikalnya sehingga jauh dari pandangan matanya. Lalu, tinggallah Maya ke seorangan. Tidak habis lagi kerja-kerja Maya Sara! Itu, pekakas-pekakas yang digunakan untuk memasak malam tadi, belum berkemas. Kain baju majikannya akan dibasuh secara sukarela. Tanpa gaji, hanya berbakti. Dia akan membuat kerja-kerja mengemas rumah sehingga ke tengahari.
Pin! Pin!
Sasliza yang baru pulang dari sekolah akan segera membuka pintu pagar belakang yang menjadi jalan keluar masuk van buruk ibunya untuk dipakir berhampiran bengkel. Sebaik sahaja Mak Aji turun daripada vannya, riuh rendah bunyi ayam, itik, angsa, burung unta dan burung turki menyambut kepulangan tuannya. Apa tidaknya, beberapa minit lagi Mak Aji akan melonggokkan sisa kuih muih dan nasi-nasi lemak yang berbaki kepada binatang ternakannya itu. Kandang yang luas itu dibuat, untuk memuatkan pelbagai jenis binatang ternakan. Bagaikan mini zoo. Ada juga yang mati kerana banyak makan nasi lemak. Mewah sungguh binatang peliharaannya, kadang-kadang terasa ‘bercinta’ juga Maya Sara untuk memberi makan kepada binatang-binatang itu, yang buat-buat bersahaja dan tidak nampak apabila Maya Sara melonggokkan makanan kepada mereka. Kalau di kampungnya dahulu pantang nampak dia membawa bekas, pasti ayam-itik akan mengekorinya, ini berlainan sekali sikap binatang peliharaan Mak Aji. Sungguh gelihati!
“Ah! Makanan lagi!” agaknya itulah yang diucapkan oleh binatang-binatang itu seandainya mereka semua dapat berkata-kata. Makanan tidak pernah putus-putus, malahan tidak habis di makan mereka.
“Maya, tadi Aron datang lagi ke kedai Mak Aji, dia ada hajat terhadap Maya”
“Hajat apa pulak tu Mak Aji” Maya tersenyum apabila terkenangkan waktu mula-mula dia mengenali Aron.
“Kak Maya itulah abang Aron Aziz!” kata Sasliza, anak bongsu Mak Aji pada suatu hari.
“Ha, Aron Aziz? Buat apa dia ke sini? Ada shooting filem ke?”
“Tak adalah kak Maya, Aron tu nama timang-timangan dialah. Nama sebenarnya ialah Haron bin Aziz”
“Hahahahaha” Maya Sara tergelak besar.
“Lihatlah handsome tak abang Aron Aziz tu? Ada mirip-mirip wajah Aaron Aziz yang pelakon tu tak?
“Yang mana?”
“Ala yang turun dari lori kontena tu”
“Oh, pemandu lori...”
“Kenapa akak tak suka pemandu lori ke? Pemandu lori tu bukan lelaki ke?”
“Ish, ke situ pulak budak ni, hingus masih meleleh, dah pandai cakap macam orang tua”
“Budak-budak sekarang kak...hahahaha” gelak Sasliza nakal.
“Syyy, diam kak, Aron Aziz dah datang”
Maya Sara tunduk dan buat-buat sibuk mengemas meja. Hari itu, Mak Enon demam, dia tidak dapat datang kerja di gerai itu. Maya di bayar gaji lebih sedikit kerana datang menolong Mak Aji di gerai. Maya Sara mencuri-curi pandang dan nampak kaki seorang lelaki menghampirinya.
“Assalamualaikum!”
“Apa yang istimewa ada hari ini?” kata Aron lagi setelah salamnya tidak berjawab. Tetapi dia tahu, yang mendengarnya pasti telah menjawab salamnya di dalam hati masing-masing. Pedulikanlah yang penting perutnya harus diisi dahulu sebelum turun ke Alor Star untuk menghantar barangan computer.
Aron duduk di kerusi pada meja yang paling hadapan. Perempuan! Matanya terbuka luas. Memerhati.
“Pekerja baru ke?”
“Ya, encik nak minum apa?”
“Bagi saya teh tarik. Apa menu yang istimewa hari ini? Kalau ada orang baru mesti ada menu baru,” Aron tahu sangat, sudah selalu Aron singgah di kedai Mak Aji.
“Laksam bang, kak Maya buat, sedap!” kata Sasliza mencelah.
“Eh, pergilah jangan menyibuk, kacau daun je. Eh, Asli mari sini, siapa namanya tadi?”
“Kak Maya! Apalah abang Aron ni panggil Sasliza, Asli pulak, nak kena sudip ni”
“Hahahaha, garang jugak adik abang ni, yalah abang nak panggil apa?”
“Ala abang ni kan selalu panggil Liza, panggil liza sajalah.” Sasliza merajuk, pandai-pandai je ubah nama orang! Abang Aron ni jahat! Kata Sasliza mengomel-ngomel sendiri.
“Oh... Ingatkan cantik kalau abang panggil Sas saja”
“Tak maulah, macam nama penyakit je”
“hahahahaha”
Maya menghantar teh tarik untuk Aron. Aron melihat susuk tubuh Maya tidak berkedip. Maya tersenyum sendiri kerana terkenangkan nama lelaki di hadapannya yang kelakar itu. Ada hati nak samakan dengan artis Aaron Aziz! Senyumnya yang hampir sampai ketelinga itu membuatkan Aron mabuk kepayang. Dihirupnya teh yang panas itu pantas. Aduh! Panasnya!
“Hahahahahaha” Sasliza ketawa. Teh tarik itu tertumpah di atas meja. Maya menutup mulutnya sambil menahan tawa. Maya cepat-cepat menghulurkan kain lap meja dan membersihkan air teh yang tumpah itu. Maya terpandang wajah Aron dari dekat. Segak juga, boleh tahan. Kalau tidak selekeh tentu boleh mengalahkan ketampanan Aaron Aziz. Hati Maya sudah tertawan!
“Abang nak makan apa?”
“Abang!?” Aron terpukau, sebutan yang mesra dengan suara Maya yang lunak itu membuatnya bagaikan terlena dibuai irama syahdu.
“Cuba laksamlah bang!” pekik Sasliza di kejauhan. Sasliza selalu datang menolong Mak aji di gerai itu apabila cuti sekolah. Di Kedah, cuti sekolahnya jatuh pada hari jumaat dan sabtu.
“Abang tak minatlah makan laksam macam muntah kucing”
“Apalah abang ni, menghina makanan! Kalau abang tak lalu, jangan kata macamtu, kecik hati kak Maya. Liza dah makan tau abang, sedap! Rugi abang tak nak rasa”
Maya Sara tidak sedikit pun rasa kecewa atau terkilan dengan kata-kata Aron. Kalau mahu berniga, kita kena tabah dan peramah. Ini semua dugaan apabila melayani kerenah pelanggan. Mungkin masa dulu dia pernah makan laksam yang tidak sedap, lalu dia serik untuk memakannya. Bisik hati kecil Maya.
“Abang Aron...Tak apalah abang cuba satu sudu je dulu. Tak sudikah rasa masakan Maya ni” Maya menghulurkan satu mangkuk kecil laksam siap dengan ulam dan sambal yang mengiurkan.
Aron terpaku sejenak sambil menterjemah liuk lintuk bahasa badan Maya itu. Persembahan hidangan daripada Maya lain benar, tidak sedikit pun nampak seperti muntah kucing. Aron tersipu malu dan berpura-pura bertanya, untuk melindungi rasa gelabahnya.
“Nama penuh cik adik yang manis ni siapa?”
“Nama saya Maya Sara binti Karim”
“Hahahahhahaa” Aron ketawa terbahak-bahak, orang sekeliling semuanya terperanjat dan memandangnya sambil tersenyum. Maya malu dan terus berlalu mendapatkan Mak Aji di bahagian belakang.
“Apalah abang Aron tu, malulah Maya” kata Maya sambil mencebikkan mulutnya di hadapan Mak Aji.
“Alah, Aron tu memang begitu, suka menyakat orang, tapi hatinya baik”
Mak Aji dan Maya meyibukkan diri di belakang dapur dan mula tugas untuk mengemas. Waktu itu hampir ke pukul 12.00 tengahari. Gerai makan di pasar itu bermula seawal 8.00 pagi sehingga 12.00 tengahari sahaja. Itulah rutin harian Mak Aji untuk mencari nafkah bagi membesarkan anak-anaknya. Masih ada dua orang lagi yang masih bersekolah dan dua lagi anak perempuannya sudah berkahwin. Mak Aji sudah lama hidup menjanda. Bekas suaminya selalu datang bertandang bagaikan mahu rujuk semula tetapi Mak Aji tidak mahu menerimanya kembali. Mungkin perasaan terluka di hatinya masih berbekas dan dia lebih seronok hidup menjanda sambil bermain dengan cucunya. Tidak ada siapa yang boleh mengongkong hidupnya lagi dan tidak perlu melayan kerenah lelaki apabila penat bekerja. Boleh mengatur masa sendiri tanpa ada gangguan.
“Kenapa abang gelak camtu? Tak malu ke?” tanya Sasliza.
“Hihihi, dah kenalah abang nama Aron Aziz dan kak Maya pulak Kak Maya Karim...” Aron masih gelihati dengan pertemuannya itu.
“Eh, hello, jangan dok perasanlah encik Harun bin Aziz, nama penuh kak Maya tu ialah Maya Sara binti Karim. Jauh lagilah"
“Ha, betul apa, dah dekat-dekatlah tu, kan dah kena nama kami berdua. Macam nama pelakun dalam filem Ombak Rindu pulak. Hahahaha” Aron ketawa lagi.
“Sudahlah bang, asyik ketawa saja, makanlah laksam kak Maya tu, apa rasanya?”
“Tak ada rasa apa-apa pun”
“mana nak ada rasa, tadi abang dah terminum air teh panas”
“Oh ya, sekejap lagi boleh rasa, nanti abang suap lagi...hurm...boleh tahan, tak macam yang pernah abang makan” Aron tersenyum dan memandang Maya. Maya nampak marah dan memuncungkan mulutnya.
“Eh, Maya, berangan pulak dia, Mak Aji cakap dengan Maya ni”
“Oh ya, apa Mak Aji cakap tadi?”
“Aron tu nak pergi merisik Maya di kampung Maya tu”
“Mana ada sesiapa lagi di kampung Maya tu Mak Aji, bukan Mak Aji tak tahu, kakak Maya ada di Jerangau, Dungun, dia pun orang susah, tak mahulah saya menyusahkannya”
“Habis tu rumah dan tanah arwah emak Maya tu, siapa yang jaga?”
“Tak ada siapa yang jaga. Rumah itu pun, Maya tak tahu ceritanya sebab setahu Maya, arwah mak dan ayah menyewa tanah orang untuk membuat rumah tersebut”
“Sepupu Maya ada di Sungai Petani ni, di Tanjung Dawai, takanlah Mak Aji lupa, dia yang bawa Maya berjumpa dengan Mak Aji bila Maya kata nak belajar lagi dalam bidang masakan”
“Jadi, Maya setujulah dengan lamaran Aron Aziz tu?” Mak Aji berseloroh.
“Mak Aji ni, siapalah Maya ni Mak Aji untuk memilih pasangan yang kacak seperti wajah pelakon Aaron Aziz yang sebenar tu? Maya ni janda, tidak berharta pulak tu”
“Janganlah merendah diri Maya, orang sekarang ni semua memilih untuk hidup senang dengan mendapatkan calon suami yang kaya raya”
“Tak perlulah itu semua Mak Aji, bahagia ada di mana-mana asalkan kita pandai mengolahnya”
Maya Sara mulai sedih apabila terkenangkan arwah suaminya yang kemalangan jalan raya bersama anaknya, ketika di dalam perjalanan pulang dari menjemput anaknya di sekolah. Masa itu arwah anaknya baru darjah satu. Tiga tahun sudah peristiwa itu berlaku. Itulah sebabnya Maya Sara merantau untuk memulakan hidup baru dan ingin melupakan kisah silam yang trajis itu. Di sebabkan dia tidak pernah bekerja kerana tidak diizinkan oleh suaminya, apalah yang dapat dia buat selainn daripada belajar dengan mengutip ilmu pengetahuan dalam bidang masakan dan juga kemahiran. Sebelum Maya Sara datang ke Sungai Petani itu, dia tinggal bersama arwah ibunya di Gong Badak, Kuala Terengganu. Selepas kematian arwah ibunya setahun yang lalu, mulailah Maya Sara berhasrat untuk merantau mengikut hatinya. Kebetulan pada masa Maya Sara sedang bersedih itu dia di jemput abang sepupunya supaya berubah angin ke Sungai Petani. Dia diperkenalkan kepada Mak Aji setelah Maya Sara menyuarakan rasa bosannya kerana tinggal di rumah abang sepupunya tanpa berbuat apa-apa pekerjaan. Isteri abang sepupunya pun mulai menyemai benih-benih cemburu apabila suaminya melayan Maya Sara dengan mesra. Beginikah risikonya seorang wanita yang berstatus janda? Semua orang akan pandang serong dan menganggap hati seorang janda itu jahat dan miang! Detik hati Maya Sara.

Friday, 21 December 2012

Pengenalan.



Assalamualaikum, kepada peminat-peminat eNovel Ayuni Ulfat.
Ada banyak resepi yang akan muncul dalam eNovel ini di antaranya:
1) Laksam, bagaimana cara membuatnya dan kenapa ianya begitu lazat, apakah berbezaan yang sangat ketara itu?
2) Mee Udang Istimewa resepi sebenar daripada seorang makcik yang berada di Butterworth. Tidak ada tolok bandingnya dari segi citarasa yang sungguh berbeza. Yang paling istimewa sekali ialah resepi ini tidak sedikit pun menggunakan bawang.
3) Daging Cuka, ianya adalah resepi yang cukup istimewa sesuai untuk bulan Ramdan.
4) Dalca Ibu Mertuaku, Begitu istimewa dari segi rasa yang cukup lain dari yang lain, serta tips penyediaannya.
5) Kari ikan resepi istimewa dari Penang, asli. jangan lepaskan peluang ini untuk menyalin resepinya.
6) Gulai kawah Istimewa didatang khas dari Terengganu.
7) Nasi Kerabu yang paling Istimewa dan paling rinkas dan mudah di pelajari.
8) Resepi cara-cara pembuatan campuran beras untuk nasi dagang dan cara-cara untuk memasaknya dengan ringkas dan sedap.
9) Gulai ikan tongkol untuk nasi dagang yang hebat rasanya, pasti apabila anda mengetahui cara penyediaannya, Insyaallah family anda akan gembira merasai air tangan anda sendiri.
10) Pelbagai jenis sambal belacan.
11) Minuman dan banyak lagi yang pastinya kesemuanya sangat istimewa, garapan yang mantap dan berkesan sekali untuk anda semua mempelajarinya.
*Jangan lepaskan peluang ini untuk anda membaca eNovel ini dan memberi komen setiap post, Insyaallah mungkin anda adalah peminat eNovel ini yang bertuah akan mendapat hadiah Istimewa daripada penulis.
eNovel ini digarap secara santai dengan bahasa yang sangat mudah difahami...
Kepada yang memberi sokongan itu, bonda mengucapkan jutaan terima kasih.
Selamat membaca!!